MANCHESTER, 15 November- Pengurusan Manchester United akan mengeluarkan kenyataan balas berhubung dakwaan 'panas' yang dibuat oleh bintang Portugal, Cristiano Ronaldo kepada umum.
Menerusi satu kenyataan, kenyataan balas itu akan dikeluarkan sebaik sahaja mengumpul fakta dan bukti dalam siasatan yang sedang dijalankan pihaknya.
Terdahulu, Ronaldo secara terbuka mendakwa dirinya dikhianti oleh kelab tersebut dan terdapat beberapa pihak mahu menyingkirkannya daripada United.
Dalam temubual di sebuah rancangan televisyen itu, Ronaldo yang menyertai United buat kali kedua dari Juventus pada 2021, mengakui turut hilang rasa hormat kepada pengurus United, Erik ten Hag.
"Mereka akan memberi respons kepada tuduhan Ronaldo itu tidak lama lagi, namun fokus mereka ketika ini adalah terhadap persiapan baki musim ini dan meneruskan momentum serta kepercayaan di antara pemain, pengurus, pegawai dan juga penyokong," kata United dalam kenyataan itu.
Sebelum ini, Ronaldo membuat tindakan mengejut apabila enggan dimasukkan sebagai pemain gantian ketika perlawanan dengan Tottenham Hotspur.
Pemain berusia 37 tahun dari Portugal itu dilihat berjalan masuk ke bilik persalinan pada hujung permainan sebagai tanda protes terhadap Ten Hag.
Susulan itu, Ronaldo yang juga pemenang Ballon D'Or, diketepikan dalam skuad Red Devils menentang Chelsea.
United ketika ini di tangga kelima Liga Perdana Inggeris drengan 26 mata hasil 14 perlawanan.-AFP
(FOTO AFP)