HONG KONG, 19 Ogos – Kapten Al-Ittihad, Karim Benzema, menolak tanggapan bahawa aksi separuh akhir Piala Super Saudi menentang Al-Nassr malam ini di Hong Kong hanya akan berpusat kepada kelibat Cristiano Ronaldo.
“Ia bukan soal berdepan Cristiano Ronaldo, sebaliknya ia adalah perlawanan antara dua kelab,” tegas Benzema pada sidang media.
Perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Hong Kong itu bakal menyaksikan dua gergasi bola sepak Arab Saudi berentap untuk merebut tiket ke final pada 23 Ogos.
Ronaldo, 40 tahun, lima kali pemenang Ballon d’Or, bersama skuad Al-Nassr menjalani latihan dalam hujan lebat di Pusat Sukan Bersama, Kowloon Tong, sehari sebelum perlawanan. Turut kelihatan pemain antarabangsa João Félix dan Sadio Mané.
Ronaldo dan rakan sepasukan tiba di Hong Kong sejak Khamis lalu, dalam misi mencari slot ke final edisi pertama Piala Super Saudi yang dianjurkan di China.
Saingan kali ini menampilkan juara dan naib juara Piala Raja serta Liga Pro Saudi, selain juara Liga Juara-Juara AFC, Al Ahli, yang menggantikan Al Hilal selepas menarik diri kerana faktor keletihan.
Al-Ittihad yang menjuarai Liga Pro dan Piala Raja turut disertai Al-Nassr, pasukan yang menamatkan liga di tempat ketiga.
Bagi Al-Nassr, separuh akhir ini juga bakal menjadi pentas debut Joao Felix yang menyertai kelab itu musim panas ini. Penyerang Portugal itu mengakui teruja memulakan lembaran baharu namun tetap terkenang rakan baiknya, mendiang Diogo Jota, yang maut dalam kemalangan jalan raya bulan lalu.
“Diogo sentiasa menjadi salah seorang sahabat baik saya dalam skuad kebangsaan, kami selalu bersama. Saya pernah bermain menentangnya berkali-kali dan mengenali keluarganya dengan rapat, terutama ibu bapanya, sebuah keluarga luar biasa yang tidak sepatutnya melalui tragedi ini,” jelas Joao Felix. – REUTERS
