fb fb fb fb fb

Bekas Ketua Polis Kelantan dilantik Presiden KRW FC

FOTO Kelantan Red Warrior FC

KOTA BHARU, 19 Ogos – Bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dilantik sebagai Presiden Kelantan Red Warrior (KRW) FC berkuat kuasa semalam.

Dalam kenyataan di Facebook rasmi, KRW FC memaklumkan pelantikan Muhamad Zaki, 61 tahun, dibuat berdasarkan reputasi cemerlang beliau dalam aspek kepimpinan, disiplin dan integriti yang diyakini mampu membentuk budaya profesional serta berdaya saing dalam pasukan.

“KRW FC mengucapkan tahniah kepada Datuk Muhamad Zaki atas pelantikan ini. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Kelantan dan terbukti cekap dalam pengurusan organisasi serta hubungan masyarakat,” jelas kenyataan itu.

KRW FC turut berharap kepimpinan baharu ini dapat menyatukan pemain, barisan pengurusan dan penyokong ke arah kejayaan lebih gemilang.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK), Nik Hafiz Naim Nik Hassan, melepaskan semua pemilikan dan jawatan sebagai Presiden KRW FC pada 2 Ogos lalu.

Nik Hafiz Naim turut menjelaskan keputusan drastik tersebut ada kaitan dengan isu sekatan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dibangkitkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE