KOTA BHARU, 19 Ogos – Kelantan The Real Warrior (TRW) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC 3-1 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Ketua pasukan, Ifedayo Omosuyi, membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum menambah gol kedua pada minit ke-17, sekali gus meletakkan TRW di depan dengan selesa.
Kebangkitan pasukan tuan rumah diteruskan pada babak kedua menerusi penyudah penyerang, Sean Selvaraj, pada minit ke-65. KL City FC hanya mampu meraih gol sagu hati menerusi sepakan Syamer Kutty Abba pada minit ke-86.
Sementara itu, Negeri Sembilan FC (NSFC) hampir pasti ke suku akhir selepas membelasah PDRM FC 5-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
NSFC bermula garang dengan Jovan Motika membuka jaringan pada minit pertama menerusi sepakan percuma, sebelum pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Agbre Noel dilayangkan kad merah pada minit kesembilan.
Motika sekali lagi menemui sentuhan jaringan pada minit ke-40, disusuli gol Joseph Esso lima minit kemudian. Babak kedua menyaksikan Mio Tsuneyasu menjaringkan gol keempat pada minit ke-76, sebelum Esso melengkapkan kemenangan besar dengan gol kelima pada minit ke-79.
Aksi timbal balik pusingan 16 terbaik dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 14 September depan.
FOTO Negeri Sembilan Football Club