fb fb fb fb fb

Separuh akhir Piala Malaysia, 400 anggota & pegawai polis ditugaskan

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

KUALA TERENGGANU, 16 Januari- Seramai 400 pegawai dan anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan sepanjang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak Kuala Nerus malam esok.

Perkara itu bagi memastikan kelancaran trafik sekitar stadium serta perlawanan antara pasukan Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijangka dihadiri puluhan ribu penonton.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata pihak polis akan menjalankan pemeriksaan ketat di pintu masuk stadium bagi memastikan penonton tidak membawa barang-barang atau peralatan berbahaya.

Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan badan dan beg akan dilakukan oleh petugas sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium.

Penonton tidak dibenarkan membawa masuk barang larangan seperti mercun, suar, topi keledar, botol air, pemetik api, sebarang objek dan senjata tajam seperti besi, pisau, tongkat dan sebagainya.

Larangan juga termasuk alat pembesar suara dan peniup yang mengeluarkan bunyi bising.

Dalam pada itu Azli turut mengingatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan atau laluan di laluan pintu utama stadium. 

Sebarang bentuk perarakan atau perhimpunan sama ada sebelum, semasa atau selepas perlawanan juga tidak dibenarkan bagi mengelak insiden pergaduhan atau provokasi.

Pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dan kekecohan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI