fb fb fb fb fb

Singkirkan gandingan China, Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir Terbuka India

FOTO Badminton Association of Malaysia- BAM

KUALA LUMPUR, 16 Januari- Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila berjaya mengesahkan slot ke peringkat suku akhir aksi Terbuka India.

Saingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi itu menyaksikan gandingan negara menampilkan aksi positif dengan menyingkirkan pasangan bukan pilihan dari China, Xie Hao Nan dan Zeng Wei.

Pada pusingan kedua kejohanan berstatus Super 750 itu pasangan pilihan ke-5 berkenaan hanya memerlukan 34 minit untuk menang straight set 21-10 dan 21-18.

Bekas juara dunia 2022 itu akan berdepan sama ada pasangan pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto atau Kittinupong Kedren dan Dechapol Puavaranukroh dari Thailand.

Sementara itu pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah berjaya menempah slot keperingkat suku akhir yang berlangsung esok.

Saingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi itu menyaksikan gandingan negara meraih kemenangan mudah berdepan pasangan China, Jia Yi Fan dan Zhang Syu Xian.

Pasangan nombor tujuh dunia itu hanya beraksi di gelanggang selama sembilan minit sebelum lawan memutuskan untuk menarik diri di set pertama aksi pusingan kedua.

Ketika itu, Pearly dan Thinaah sedang mendahului 14-4.

Keputusan tidak meneruskan permainan dibuat gandingan China selepas Shu Xian difahamkan mengalami kecederaan.

Pasangan negara akan berdepan pemenang perlawanan antara gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dengan pasangan India, Tanisha Crasto-Ashwini Ponnappa bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE