SAO PAULO, 17 Januari - Penyerang Brazil, Neymar mendedahkan bahawa bekas rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, pernah menunjukkan rasa "cemburu" terhadap hubungannya dengan Lionel Messi, ketika bintang Argentina itu menyertai kelab tersebut pada 2021.
Neymar ketika dalam satu sesi audio siar (podcast) bersama bekas penyerang Brazil, Romario berkata, pertembungan ego punca kegagalan trio bintang PSG untuk beraksi secara harmoni sepanjang tempoh mereka bersama.
Neymar, 32, yang kini bermain untuk kelab Al-Hilal di Arab Saudi menjelaskan bahawa hubungannya dengan Mbappe sangat baik pada awalnya, selepas pemain Perancis itu menyertai PSG pada 2017.
"Saya pernah bergaduh kecil dengannya, tetapi dia seorang pemain muda yang penting apabila tiba di PSG. Saya selalu menyokongnya, bercakap dengannya, dan kami sering keluar makan malam bersama," kata Neymar.
Namun, Neymar mendakwa hubungan itu berubah selepas kehadiran Messi, di mana beliau dan Messi telah membina persahabatan yang erat sejak bermain bersama di Barcelona.
"Ketika Messi tiba, saya rasa Mbappe jadi sedikit cemburu. Dia tidak mahu berkongsi saya dengan sesiapa dan ketika itulah perubahan sikap bermula," tambah Neymar.
Neymar turut mengakui bahawa kegagalan mereka untuk mencapai potensi penuh sebagai satu pasukan berpunca daripada sikap individu.
"Anda tidak boleh bermain sendirian. Anda perlukan sokongan rakan sepasukan. Jika tiada kerja sama, mustahil untuk menang," katanya.
Ketika ini, Neymar enggan memberi petunjuk mengenai masa depannya walaupun wujud spekulasi beliau mungkin kembali ke Brazil atau menyertai Major League Soccer.
"Saya gembira di Arab Saudi, tetapi dalam masa enam bulan, semuanya boleh berubah," ulas Neymar.- AFP