KUALA LUMPUR, 5 September- Sepak takraw bakal melakar sejarah tersendiri apabila dipertandingkan buat julung kali dalam Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia 2025 di Mersin, Turkiye mulai 18 hingga 25 Oktober ini.
Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) menerusi kenyataan memaklumkan ia akan menampilkan sepak takraw adaptif yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu TKR1 (kudung kaki di atas lutut, menggunakan kaki prostetik atau peralatan imbangan), TKR2 (kudung kaki di bawah lutut, atrofi otot, polio atau perbezaan panjang kaki lebih 5 sentimeter) serta TKR3 (kecacatan lengan termasuk kudung bawah siku, kekejangan otot, atrofi atau polio).
Tiga acara akan dipertandingkan iaitu acara Lengan (semua pemain cacat sebelah lengan), Campuran 1 (seorang pemain cacat kaki dan dua cacat lengan) serta Kuadran Campuran (dua cacat kaki dan dua cacat lengan).
Dalam pada itu, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata jemputan rasmi telah diterima daripada Ketua Operasi temasya, Elin Luce pada 14 Julai lalu.
“Pada asalnya kejohanan ini dijadual berlangsung di Mersin, Turkiye tetapi dipindahkan ke Hatyai atas faktor tertentu. Selain tuan rumah, ISTAF menyarankan Malaysia, Indonesia, Laos, Korea Selatan, Filipina dan Taiwan turut menyertai,” kata kenyataan itu.
Menurut Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), satu jawatankuasa kecil khas akan dibentuk bagi menggalakkan negara ahli menubuhkan pasukan sepak takraw kurang upaya masing-masing.
Setakat ini, penyertaan hanya disahkan oleh Thailand, Indonesia dan Laos, manakala Korea Selatan, Filipina dan Taiwan masih dalam rundingan.
Beliau optimis Malaysia dapat turut serta dengan kerjasama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang dipengerusikan Datuk Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin.
“Difahamkan, sudah ada kumpulan pemain kurang upaya di Malaysia yang aktif bermain sepak takraw, sama ada dalam kejohanan terbuka atau secara sosial. Malah di Thailand, sukan ini giat dipromosikan oleh Presiden Persatuan Sukan Thailand Bagi Orang Kurang Upaya (SPADT), Maitree Kongruang,” jelasnya.
Thailand dijangka menghantar sehingga dua pasukan untuk setiap acara di Hatyai nanti.