fb fb fb fb fb

"Jumlah pingat jadi penanda, bukan warna" - Hannah Yeoh

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 September- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak lagi menetapkan sasaran pingat mengikut warna bagi temasya sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA Thailand 2025.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pendekatan baharu itu dibuat selepas penelitian data prestasi, laporan pascanilai serta perbincangan bersama pakar kejurulatihan Jepun, Profesor Masamitsu Ito.

"Kita tidak menekankan warna pingat, sebaliknya menumpukan kepada jumlah keseluruhan pingat supaya setiap atlet dihargai atas sumbangan mereka. Ini berdasarkan pengalaman pascanilai Sukan Asia sebelum ini, di mana atlet memberitahu bahawa apabila mereka menyumbangkan pingat gangsa, mereka merasa dihargai.

Jika hanya fokus kepada pemenang pingat emas, sumbangan lain terabai. Kini, dengan sasaran pingat keseluruhan, sesiapa sahaja yang membawa pulang pingat dapat menyumbang kepada jumlah keseluruhan negara," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pembangunan Jurulatih ASEAN 2025 di Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan penekanan berlebihan kepada warna pingat sebelum ini hanya mewujudkan tekanan tidak perlu, sedangkan setiap sumbangan sama ada emas, perak atau gangsa tetap memberi makna besar kepada negara.

Tambahnya, data juga menunjukkan pendekatan baharu tersebut membantu mengekalkan fokus dan motivasi atlet.

Langkah itu turut dipersetujui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), meski terdapat persatuan sukan mengumumkan sasaran khusus mereka menjelang sesuatu temasya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM