fb fb fb fb fb

Kerajaan usaha bajet tambahan, ganjaran atlet pekak cemerlang

Foto Fail

PUTRAJAYA, 5 September- Kerajaan kini dalam proses mendapatkan bajet tambahan untuk atlet pekak yang cemerlang di Sukan SEA Pekak 2025 menerima ganjaran setimpal.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan, setakat ini peruntukan sedia ada hanya meliputi persiapan dan latihan melalui Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).

"Bagi atlet-atlet MSDeaf, mereka tahu bahawa kita sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantu mereka.

Setakat ini, tiada ganjaran disediakan kerana ia tidak termasuk dalam bajet asal yang diperuntukkan untuk mereka,” kata Hannah.

Bulan lalu, kontinjen negara mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan di Jakarta, Indonesia dengan kutipan 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa, sekali gus mengatasi pencapaian edisi terdahulu.

Ketua Kontinjen Malaysia, Sarkunan Balakrishnan sebelum ini menegaskan kejayaan luar biasa itu wajar diiktiraf menerusi insentif khas kepada atlet, jurulatih dan pegawai yang mengharumkan nama negara.

Terdahulu, kontinjen negara menerima peruntukan sebanyak RM3 juta sebagai persiapan menghadapi temasya berkenaan selain persediaan menuju Deaflympics Tokyo pada November ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM