PUTRAJAYA, 5 September- Masa depan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kini bergantung kepada kestabilan dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan kerajaan bersedia menyerahkan dua program pembangunan bola sepak itu kepada FAM, namun ia hanya dimuktamadkan selepas badan induk berkenaan menyelesaikan isu kepimpinannya.
"Saya memang mahu menyerahkan tanggungjawab ini kerana kita sudah ada penilaian oleh AFC dan perbincangan awal telah bermula. Namun, saya mahu FAM menyelesaikan hal berkaitan presidennya terlebih dahulu.
Setelah semuanya dipersetujui dan bersedia, barulah kita boleh berbincang tentang proses penyerahan. Ini penting kerana saya bukan enggan untuk menyerahkan, tetapi mahu semua pihak sudah bersedia sebelum proses itu dilakukan,” kata Hannah.
Sebelum ini, FAM sudah menyatakan kesediaan untuk mengambil alih pengurusan NFDP dan AMD dengan syarat mendapat mandat daripada KBS serta Majlis Sukan Negara (MSN).
Bagaimanapun, kemelut kepimpinan FAM tercetus Ogos lalu apabila presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub melepaskan jawatan hanya enam bulan selepas dilantik.
Kini, jawatan berkenaan dipangku oleh Datuk Mohd Yusoff Mahadi.