fb fb fb fb fb

Piala Asia Hoki Wanita: Skuad negara tewas 0-8 dengan China

Foto FB MHC

HANGZHOU, 5 September- Skuad hoki wanita negara berdepan permulaan sukar di Piala Asia Hoki Wanita 2025 apabila tumbang 0-8 kepada pasukan tuan rumah, China pada aksi pembukaan Kumpulan A.

Aksi yang berlangsung di Gongshu Canal Sports Park Stadium, Hangzhou, China jelas memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri apabila membuka jaringan seawal minit pertama melalui Zou Meirong.

Gol demi gol terus menyusul termasuk hasil pukulan sudut penalti yang menyaksikan pasukan negara ketinggalan besar menjelang tamat permainan.

Pasukan negara cuba untuk bangkit namun keampuhan barisan serangan China terlalu sukar ditangani sehingga skuad negara pulang tanpa sebarang jaringan.

Dalam pada itu, ketua jurulatihnya, Mohd Nasihin Nubli menyatakan keputusan itu sudah dijangka apabila berdepan dengan antara pasukan gergasi.

Beliau juga mengakui anak buahnya masih memiliki kekurangan yang perlu ditambah baik dua lagi perlawanan yang akan datang.

“10 sudut penalti yang kita lepaskan berlaku kerana saya rasa kawalan pemain kita masih kurang kemas. Keadaan ini disebabkan kita masih ketinggalan dari aspek kelajuan berbanding pasukan China.

Akibatnya, kita terpaksa menukar susunan dengan meletakkan lebih ramai pemain dalam bahagian pertahanan untuk mengawal mereka," kata Mohd Nasihin kepada pemberita, hari ini.

Malaysia kini perlu segera mencari rentak apabila berdepan Taiwan pada Ahad, sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Korea Selatan, Isnin depan.

Kejohanan edisi kali ini berlangsung hingga 14 September.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM