PUTRAJAYA, 5 September- Kementerian Belia dan sukan (KBS) kini dalam proses memperkasa program pembangunan jurulatih sukan di seluruh negara.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata insentif cukai latihan sukan berjumlah RM1,000 yang diperkenal kerajaan akan meningkatkan permintaan ibu bapa untuk mendapatkan jurulatih bertauliah melatih anak-anak mereka.
Sehubungan itu, kementerian akan memaparkan senarai nama jurulatih yang memiliki tauliah serta pengiktirafan Institut Sukan Negara (ISN) bagi rujukan semua pihak.
“Kita akan paparkan senarai nama jurulatih yang telah ditauliah serta mendapat pengiktirafan daripada ISN.
"Melalui senarai ini, orang ramai yang mencari jurulatih dapat memastikan bahawa jurulatih berkenaan telah mendapat latihan yang sewajarnya, bebas daripada sebarang rekod kesalahan lampau, serta diyakini selamat untuk melatih anak-anak mereka," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.
Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas merasmikan majlis penutup program pembangunan jurulatih ASEAN 2025 di Putrajaya.
Tambahnya, proses itu memerlukan sedikit masa bagi memastikan semua jurulatih berada dalam sistem bersepadu.
ISN akan memulakan usaha berkenaan dan menyasarkan menjelang tahun 2030 semua jurulatih akan memiliki lesen rasmi ISN.
Hannah optimis inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan kualiti kejurulatihan, malah membuka lebih banyak peluang kerjaya baharu, selain memastikan pembangunan atlet negara dipandu tenaga jurulatih kompeten.