fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Asia B-23: Misi wajib menang Harimau Muda berdepan Mongolia

Foto FB FAM

BANGKOK, 5 September- Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara berdepan misi wajib menang menentang Mongolia esok bagi menghidupkan peluang negara dalam aksi Kelayakan Piala Asia B-23 2026.

Ini selepas skuad Harimau Muda tewas 0-1 kepada Lubnan pada aksi pembukaan Kumpulan F di Stadium Thammasat, Thailand pada Rabu.

Jurulatih B-23 negara, Nafuzi Zain mengakui kekalahan tipis itu memberi kesan besar kepada laluan pasukan, namun menegaskan pemain perlu segera bangkit mengutip tiga mata penuh berdepan Mongolia, sebelum menutup kempen menentang Thailand pada 9 September ini.

“Dari segi permainan kita sebenarnya lebih baik, cuma masalah sama berulang banyak peluang dicipta tetapi gagal disudahkan. Di peringkat antarabangsa, peluang gol bukan senang untuk datang. Jadi, setiap peluang mesti dimanfaatkan.

Mungkin pada minit akhir, pemain sedikit leka dan itu yang menyebabkan kita dibolosi,” katanya.

Mengulas lawan seterusnya, beliau menyifatkan Mongolia bukan lawan mudah kerana memiliki kelebihan fizikal, kepantasan serta kekuatan.

Thailand pula jelasnya, turut menunjukkan prestasi baik apabila menang dalam aksi pertama mereka.

“Yang penting kita mesti jaringkan gol dahulu untuk dapatkan tiga mata. Kalau mampu menang dengan jaringan besar itu bonus tetapi paling utama tetap kemenangan,” ujarnya.

Tambah Nafuzi, barisan kesebelasan utama akan diputuskan bergantung kepada tahap prestasi pemain.

Terdahulu, skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara bermula langkah kiri pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2026 selepas tewas 0-1 kepada Lubnan dalam aksi Kumpulan F.

Esok, Malaysia akan bertemu Mongolia dalam aksi yang berlangsung di Pathum Thani sebelum bertemu tuan rumah, Thailand pada Selasa depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM