fb fb fb fb fb

Sepak pengadil: FAM haramkan Yazan

FOTO malaysianfootballleague

PETALING JAYA, 21 November - Bekas pemain Selangor FC, Yazan Al-Arab 'diharamkan' terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia susulan tindakannya menyepak pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, 24 September lalu.

Keputusan itu diumumkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu mesyuarat yang berlangsung pada Isnin.

Yazan yang sudah ditamatkan kontraknya oleh Selangor FC didapati melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana meluru ke arah pengadil dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Pemain itu turut bertindak agresif menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri serta meludah ke arah pengadil.

Tindakan tidak bermoral itu menyebabkan pemain itu digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di negara ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD