KUALA LUMPUR, 20 November - Hasrat menyaksikan pertembungan sesama wakil negara pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia tidak kesampaian apabila beregu lelaki negara, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King tersingkir di pusingan kedua.
Beraksi di Olympic Boulevard, Sydney, pasangan ranking ke-11 dunia itu tewas 19-21, 13-21 dalam aksi yang memakan masa 36 minit kepada gandingan Choi Sol Gyu-Goh V Shem yang menghuni ranking lebih rendah.
Kekalahan itu menyekat kemaraan Arif Junaidi-Roy King untuk berdepan satu lagi beregu negara, Goh Sze-Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada suku akhir, esok.
Ia juga merupakan kekalahan pertama mereka kepada gandingan 'scratch pair' itu.
Dalam satu lagi aksi beregu lelaki, Sze Fei-Nur Izzuddin dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan slot ke pusingan suku akhir.
Bekas gandingan No.1 dunia itu tewas 23-21 pada set pertama sebelum bangkit untuk menang 21-17, 21-10 dalam baki dua set berikutnya ke atas Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan dalam tempoh 59 minit.
Pasangan profesional itu pastinya mahu mencatat keputusan terbaik pada Terbuka Australia untuk sekurang-kurangnya mengubat kekecewaan terlepas slot ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China bulan depan.
Sebelum ini, Sze Fei-Nur Izzuddin bersaing dengan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagi merebut satu lagi slot Malaysia ke WTF, namun kegagalan mereka menjuarai Kumamoto Masters di Jepun minggu lepas menutup terus peluang tersebut.
Sementara itu, hasrat perseorangan wanita, Wong Ling Ching untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas Michelle Li tidak kesampaian apabila terpaksa akur tewas kepada pemain Kanada itu.
Ling Ching yang menang ke atas Michelle pada pusingan kedua Kumamoto Masters minggu lalu tidak dapat mengulangi pencapaian tersebut apabila tewas menerusi keputusan straight set 16-21, 11-21 dalam tempoh 35 minit.