TOKYO, 20 November - Skuad boling wanita pekak negara terpaksa akur selepas kedua-dua wakil gagal menempah slot ke separuh akhir Sukan Deaflympics 2025 di Higashiyamato Grand Bowl.
Siong Mui Hong menamatkan aksi individu pusingan kedua di tempat kelima dengan 854 jatuhan pin, manakala Siw Sing He di kedudukan keempat dengan 912 jatuhan pin dalam Kumpulan C. Hanya juara peringkat kumpulan layak ke separuh akhir.
Kemenangan pusingan kedua direbut Anzhelika Zhukova dari Ukraine dengan 1,062 jatuhan pin, diikuti Adelia Naomi Yokoyama dengan 1,010 jatuhan pin.
Menurut Siong Mui Hong, cabaran perlawanan termasuk lorong boling licin akibat minyak tebal dan peraturan antarabangsa yang berbeza daripada pengalaman di peringkat ASEAN.
"Hari ini kami kurang bernasib baik, tapi esok ada aksi beregu wanita. Ini adalah kelebihan kami dan kami akan habis-habisan untuk Malaysia," katanya.
Fokus kini beralih kepada acara double wanita yang dijadualkan berlangsung esok, dengan atlet negara bertekad untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.
Mengikut format kejohanan, 24 pasangan terbaik akan ke pusingan kedua sebelum dibahagikan kepada empat kumpulan, dengan juara kumpulan layak ke separuh akhir.