PARIS, 20 November - Penyerang England, Alessia Russo, menjaringkan dua gol untuk membantu Arsenal menewaskan Real Madrid 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Wanita, manakala Manchester United mengalami kekalahan pertama mereka dalam saingan peringkat liga.
Arsenal ketinggalan di Meadow Park selepas jaringan pemain antarabangsa Scotland, Caroline Weir, sebelum tamat babak pertama, namun Russo muncul penyelamat The Gunners dengan dua tandukan pada separuh masa kedua.
Russo melakukan tandukan lambung melepasi penjaga gol Madrid, Misa Rodriguez, untuk menyamakan kedudukan sebelum menanduk masuk gol kemenangan menerusi situasi sepakan sudut, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah pasukan Sepanyol itu dalam kejohanan berkenaan.
United pula tunduk 5-2 kepada Wolfsburg selepas pemain Belanda, Ella Peddemors dan Lineth Beerensteyn, masing-masing menjaringkan dua gol.
Fridolina Rolfo meletakkan United di depan di Jerman ketika skuad kendalian Marc Skinner memulakan perlawanan dengan baik dalam usaha memburu kemenangan keempat berturut-turut di pentas Eropah.
Namun, Wolfsburg menyamakan kedudukan menerusi Peddemors selepas hantaran bola kurang kemas dilakukan penjaga gol Safia Middleton-Patel.
Peddemors kemudian menggandakan jaringan apabila hantaran silang dilakukannya terus menerobos gawang selepas gagal ditepis beberapa pemain, sebelum Beerensteyn meledak gol jarak jauh untuk menambah kelebihan Wolfsburg.
Lob Melvine Malard menghidupkan peluang United sebelum rehat, namun Beerensteyn memastikan kemenangan Wolfsburg dengan gol keduanya.
Vivien Endemann melengkapkan kemenangan Wolfsburg apabila menjaringkan gol kelima pada masa kecederaan, memberikan kejuaraan ketiga dalam empat perlawanan buat pasukan Jerman itu.
"Kami bermula dengan baik, jadi kami berharap ia menjadi perlawanan kami, tetapi nyata sebaliknya. Kami perlu menganalisis perlawanan ini dan belajar daripadanya kerana ini bukan cara kami mahu bermain," kata Rolfo.
Kemenangan itu melonjakkan Wolfsburg mengatasi United melalui perbezaan jaringan ke tempat ketiga dengan baki dua perlawanan. Empat pasukan teratas layak secara automatik ke suku akhir.
"Permulaan kami dalam Liga Juara-Juara Wanita sangat baik dan itu satu perkara positif ketika ini. Kami tentunya mahu pergi jauh.
"Kini kami ada dua perlawanan lagi dalam fasa liga dan kami perlu memberikan yang terbaik untuk cuba memenangi kedua-duanya," katanya lagi.
Lyon kekal di puncak carta selepas bangkit secara dramatik untuk mengikat Juventus 3-3 hasil sepakan penalti kapten Wendie Renard pada minit ke-90.
Pasukan Itali itu dilihat selesa mendahului hasil jaringan Chiara Beccari, Michela Cambiaghi dan Tatiana Pinto pada separuh masa pertama untuk memperoleh 3-0.
Namun, Tabitha Chawinga merapatkan jurang dengan Lyon pada minit ke-60 sebelum Marie-Antoinette Katoto menambah jaringan kedua, dan Renard menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan Lyon kekal tanpa kalah, juara Eropah lapan kali itu kini mengumpul 10 mata — satu mata mengatasi Barcelona, Wolfsburg dan United.
Barcelona akan bertandang ke Chelsea pada Khamis, dengan kedua-dua pasukan memburu kedudukan teratas. Chelsea kini mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan pertama.
Paris FC meraih kemenangan pertama apabila menewaskan Benfica yang beraksi dengan 10 pemain, 2-0 di ibu negara Perancis.
St Poelten pula menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 di Valerenga bagi meraih mata pertama dalam kejohanan ini.- AFP