fb fb fb fb fb

Itali mara ke separuh akhir, buru kejuaraan Davis Cup

Flavio Cobolli/ REUTERS

BOLOGNA, 20 November - Itali selaku tuan rumah kekal di landasan untuk memburu kejuaraan Davis Cup tiga kali berturut-turut selepas meraih kemenangan meyakinkan ke atas Austria di sini pada Rabu, sekali gus menempah pertemuan separuh akhir menentang Belgium.

Meskipun beraksi tanpa dua pemain utama, Jannik Sinner dan Lorenzo Musetti, skuad Itali tetap ampuh di hadapan penyokong sendiri dengan kemenangan perseorangan menerusi Matteo Berrettini dan Flavio Cobolli.

Berrettini, bekas finalis Wimbledon, membuka aksi di Supertennis Arena menentang Jurij Rodionov dan selepas berdepan kesukaran pada set kedua, beliau menamatkan perlawanan dengan kemenangan 6-3, 7-6(4).

Cobolli, pemain nombor satu Itali untuk minggu ini, tampil bertenaga dan mudah menundukkan Filip Misolic 6-1, 6-3 untuk melengkapkan kemenangan pasukan.

Berrettini memenangi kesemua enam perlawanan Davis Cup beliau pada 2024 ketika Itali mempertahankan gelaran, dan kapten Filippo Volandri mengekalkan kepercayaan terhadap pemain dengan servis kencang itu.

Aksi set pertama cukup selesa buat Berrettini yang menamatkan set tersebut dengan ace.

Namun, masalah lampu di dalam arena menyebabkan permainan dihentikan seketika pada set kedua, dan sebaik dimulakan semula, Rodionov terlebih dahulu menemui rentak apabila berjaya melakukan break buat kali pertama.

Pemain ranking ke-177 dunia itu berpeluang memenangi set kedua ketika mendahului 5-3, namun beberapa kesilapan sendiri membuka ruang kepada Berrettini untuk mematahkan servis lawan.

Berrettini kemudian ketinggalan 0-40 dalam permainan berikutnya tetapi berjaya bangkit dengan servis mantap untuk menyamakan kedudukan.

Satu double-fault Rodionov memberi kelebihan kepada Berrettini dalam tiebreak sebelum pemain Itali itu meraih mata perlawanan menerusi voli pantas dan menyudahkan kemenangan dengan servis kencang.

Jika perlawanan pertama berlangsung sengit, aksi kedua pula menjadi dominasi mutlak apabila Cobolli hanya memerlukan masa lebih 60 minit untuk membawa Itali ke separuh akhir pada Jumaat.

Belgium, yang memburu gelaran pertama, mara ke separuh akhir selepas menewaskan Perancis 2-0 pada Selasa.

Saingan Final Eight bersambung pada Khamis dengan Sepanyol menentang Republik Czech serta Argentina berdepan Jerman.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI