OLOMOUC, 21 November- Pasukan Reuplik Czech mara ke pusingan akhir Euro di Jerman tahun depan selepas menewaskan Maldova 3-0 pada pertembungan Kumpulan E pada Isnin.
Pasukan Czech yang bermain di laman sendiri membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi David Doudera sebelum menambah jaringan pada minit ke-72 hasil tandukan padu Tomas Chory.
Republik Czech menambah derita Maldova sekali lagi dengan jaringan Tomas Soucek pada minit ke-89 perlawanan.
Pada aksi berkenaan, Maldova terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pertahanannya, Vladislav Boboglo diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan pasukan Balkan itu mara ke pusingan akhir Euro buat kali kelapan selepas menduduki tangga kedua kumpulan E dengan meraih 15 mata.
Sementara itu, jurulatih pasukan berkenaan, Jaroslav Silhavy melakukan kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatan susulan kejayaan Czech mara ke pusingan akhir Euro yang bakal diadakan di Jerman tahun depan.
Silhavy berkata dia membuat keputusan berkenaan disebabkan tekanan melampau yang dialaminya sepanjang mengendalikan pasukan Republik Czech.
"Saya telah memberitahu kepada Presiden Persekutuan Bola Sepak Republik Czech tentang peletakan jawatan saya sebelum perlawanan bermula.
"Tekanan yang melampau menjadi antara punca mengapa saya meletakkan jawatan", kata Silhavy dalam satu temuramah selepas perlawanan.-REUTERS