SEOUL, 20 November – Bekas pertahanan Liga Perdana Inggeris, Mauricio Taricco, digantung lima perlawanan selepas didapati melakukan isyarat berbaur perkauman terhadap seorang pengadil di Korea Selatan.
Jurulatih berusia 52 tahun itu, yang kini merupakan pembantu kepada Gus Poyet di kelab juara K League, Jeonbuk Hyundai Motors, disabitkan membuat 'slant-eye gesture' dalam insiden awal bulan ini.
Taricco dilayangkan kad merah oleh pengadil Kim Woo-seong selepas mempertikaikan keputusan penalti yang tidak diberikan, dan kemudian dilaporkan menarik mata dengan jarinya sambil menjerit perkataan Sepanyol yang merujuk kepada 'perkauman'.
Pengadil terbabit melaporkan insiden itu kepada jawatankuasa tatatertib K League, yang memutuskan bahawa tindakan tersebut 'jelas merupakan perlakuan perkauman' dan selari dengan insiden yang pernah dikenakan hukuman oleh FIFA sebelum ini.
Liga berkenaan menyatakan Taricco mendakwa beliau 'sekadar menunjuk ke arah matanya' untuk mempersoalkan sama ada pengadil terlihat insiden 'handball' tersebut.
Namun penjelasan itu ditolak, dan beliau turut dikenakan denda 20 juta won.
Jeonbuk baharu sahaja muncul juara liga musim ini, menjadi pasukan pertama menjuarai K League sebanyak 10 kali.
Poyet dan Taricco mula bekerjasama di Korea Selatan pada awal tahun ini, selepas pernah bergandingan di England, Greece, Sepanyol, China dan Perancis. -AFP