KUALA LUMPUR, 21 November - Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menaruh harapan besar kepada anak buahnya untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi kedua kumpulan D menentang Taiwan di tempat lawan malam ini.
Jelas Pan Gon, kemenangan ke atas tuan rumah akan mencerahkan peluang untuk Malaysia menempah tempat pada pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan pusingan akhir Piala Asia 2027.
"Kami menghormati sepenuhnya pasukan dan rekod sebelum ini. Namun kami juga perlu mencipta sejarah baharu. Kami akan bermain dengan rasa hormat (kepada pasukan lawan) untuk meraih kemenangan buat Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, pemain pertahanan negara Dion Cools berkata keinginan pasukan untuk meraih kemenangan malam ini lebih besar daripada tekanan yang dirasai namun dia yakin Malaysia mampu menghadiahkan 3 mata buat Pan Gon.
"Sebanyak enam perlawanan...kami menang perlawanan pertama dan perlawanan seterusnya kami perlu ambil serius. Ini peluang yang baik untuk kami, kami tahu ia perlawanan yang sukar, kami percaya skuad ini boleh mencapai sesuatu," katanya.
Ketika ini skuad Harimau Malaya berada pada prestasi terbaik susulan kemenangan dramatik 4-3 ke atas Kyrgyzstan pada aksi sulung kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, minggu lalu.
Kejayaan menewaskan pasukan ke-97 dunia itu memberi motivasi yang diperlukan Malaysia.
Berdasarkan rekod pertemuan Malaysia-Taiwan dalam lima aksi terakhir sejak 2000 menyaksikan Taiwan kebal di gelanggang sendiri apabila memenangi tiga perlawanan termasuk pertembungan terakhir pada 2018 sementara tewas dua kali di Bukit Jalil.