fb fb fb fb fb

Sentuhan magis Messi bawa Inter Miami ke final Piala Liga

(FOTO AFP)

CHESTER, 18 Ogos - Bintang Argentina, Lionel Messi sekali lagi mempamerkan sentuhan magisnya apabila berjaya menyumbangkan gol sekali gus membawa Inter Miami ke final Piala Liga setelah menewaskan Philadelphia Union 4-1 di separuh akhir  kejohanan pada Selasa.

Legenda Argentina itu telah mengumpulkan sembilan gol dalam enam penampilannya bersama Inter Miami pada perlawanan yang dilangsungkan di Philadelphia Subaru Park.

Pada perlawanan tersebut, Inter Miami terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain antarabangsa Venezuela, Josef Martinez pada minit ke-3 setelah mendapat hantaran jauh daripada S.Kryvstov.

Pasukan Inter Miami yang dilihat mendominasi permainan terus mengasak kubu pasukan tuan rumah bagi mencari gol seterusnya.

Asakan tersebut membuahkan hasil dengan Messi berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-20 hasil rembatan deras dari luar kotak penalti yang menuju tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol Philadelphia Union, A. Blake bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Inter Miami terus menambah jaringan menerusi Jordi Alba yang melepaskan rembatan jarak dekat pada minit-minit akhir separuh masa pertama bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Bersambung babak kedua, Philadelphia menukar corak permainan bagi memburu jaringan.

Hasilnya pada minit ke-72, Philadelphia berjaya mendapatkan gol saguhati menerusi rembatan Alejandro Bedoya hasil daripada sepakan sudut.

David Ruiz memadamkan sisa-sisa perjuangan Philadelphia Union dengan jaringan pada minit ke -84 perlawanan bagi menjadikan kedudukan 4-1 sehingga tamat perlawanan.-AFP


(Lionel Messi meraikan jaringan gol kedua pada perlawanan separuh akhir Piala Liga
ketika menentang Philadelphia Union/FOTO AFP)

Media Baharu