fb fb fb fb fb

Liga Pro Saudi: Neymar sah sertai Al-Hilal dengan kontrak dua tahun

(FOTO AFP)

RIYADH, 16 Ogos - Penantian peminat Liga Pro Saudi bagi melihat kelibat bintang Brazil, Nyemar bermain di negara itu kini menjadi kenyataan.

Pemain berusia 31 tahun itu sah bergelar pemain Al-Hilal selepas menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab itu awal pagi tadi.

Penyerang tersebut kini mengikut jejak langkah beberapa pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo,Karim Benzema dan Sadio Mane yang berpindah bagi bermain di negara 'minyak' itu.

Menurut Neymar, keputusannya memilih untuk bermain di liga Saudi merupakan pengalaman baharu yang ingin dicapainya dan menganggap liga berkenaan dipenuhi bintang-bintang dunia yang berkualiti.

"Saya mahu melakar sejarah baharu dalam sukan ini dan Liga Pro Saudi mempunyai tenaga yang luar biasa serta pemain berkualiti ketika ini," ujarnya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Liga Pro Saudi.

Neymar menyertai PSG dari Barcelona pada tahun 2017 dengan rekod dunia 222 juta Euro.

Dia telah menjaringkan 118 gol dalam 173 perlawanan buat PSG, memenangi lima kejuaraan Ligue 1 dan tiga Piala Perancis.

Namun masanya di PSG dibelenggu dengan beberapa siri kecederaan.

Neymar akan diperkenalkan kepada penyokong selepas pemain 31 tahun itu tiba di Riyadh minggu depan.

Biarpun nilai perpindahannya tidak didedahkan, namun ia dipercayai mencecah 90 juta Euro selain beberapa tambahan bayaran lain.-AFP


(Nyemar bersama presiden Al-Hilal, Fahad Bin Nafel di Riyadh/Foto AFP)

Media Baharu