fb fb fb fb fb

Semenyo hargai sokongan selepas jadi mangsa hinaan perkauman di Anfield

Antoine Semenyo / REUTERS

LIVERPOOL, 16 Ogos – Penyerang Bournemouth, Antoine Semenyo menzahirkan penghargaan kepada rakan sepasukan, pemain Liverpool serta pegawai perlawanan selepas beliau menjadi mangsa insiden hinaan perkauman ketika aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Jumaat lalu.

Semenyo, pemain antarabangsa Ghana itu, dilaporkan diejek seorang penyokong di separuh masa pertama sehingga memaksa pengadil Anthony Taylor menghentikan permainan seketika bagi membincangkan perkara itu dengan kedua-dua pengurus dan kapten pasukan.

Polis Merseyside kemudian mengesahkan seorang lelaki berusia 47 tahun telah dihalau keluar dari stadium dan siasatan sedang dijalankan.

“Detik di Anfield itu akan saya kenang selamanya bukan kerana kata-kata seorang individu, tetapi kerana bagaimana seluruh keluarga bola sepak berdiri teguh bersama saya,” tulis Semenyo di Instagram.

Selepas insiden tersebut, Semenyo bangkit mempamerkan karakter luar biasa apabila meledak dua gol untuk menyamakan kedudukan 2-2, sebelum Liverpool kembali menguasai permainan dan menang 4-2.

“Dua gol itu seolah-olah cara saya menjawab di atas padang, dengan bahasa yang paling bermakna dalam bola sepak,” katanya lagi.

Jurulatih Bournemouth, Andoni Iraola menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang memalukan, manakala kapten Adam Smith pula meluahkan rasa terkejut.

“Memang tak boleh diterima langsung, saya pun terkejut ia masih berlaku zaman sekarang. Saya tak tahu macam mana Ant boleh teruskan bermain dan menjaringkan dua gol. Itu menunjukkan siapa dirinya,” kata Smith.

Namun, Semenyo mendedahkan dia sekali lagi menerima hinaan perkauman dalam talian selepas perlawanan apabila akaun media sosialnya dibanjiri emoji monyet.

“Bila semua ini akan berhenti?” soalnya dalam satu hantaran ringkas.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE