SEPANG, 16 Ogos - Aksi kelayakan Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang hari ini, menyaksikan kebangkitan luar biasa daripada pelumba TKKR RACING TEAM, Md Hafiza Rofa dalam kategori CP150.
Pelumba berusia 29 tahun itu yang sekadar di kedudukan kelapan pada Kelayakan 1, bangkit dengan tunggangan hebat dan melakukan catatan sepusingan terbaik dalam Kelayakan 2.
Berbekalkan semangat juang tinggi, Hafiza bersama pasukannya melakukan beberapa pelarasan pada jentera sebelum memecut cemerlang dan mencatatkan masa 1’15.567 saat (s), sekali gus dinobatkan sebagai pelumba terpantas keseluruhan.

Hafiza bangkit dari kedudukan ke-8 pada Kelayakan 1, untuk mencatatkan masa terpantas di Kelayakan 2 - Foto Malaysian Cup Prix
"Saya tidak sangka akan mendapat tempat pertama. Ini kali pertama saya mencatat masa terpantas dalam CP150. Terima kasih kepada pasukan kerana banyak melakukan pelarasan.
"Sejak pagi tadi kami mencuba pelbagai tetapan secara 'try and error’. Akhirnya usaha kami membuahkan hasil. Saya akan terus berusaha dan melakukan sehabis baik esok,” katanya.
Pelumba berasal dari Terengganu itu mengetepikan saingan Md Akid Aziz dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA CKJ RACING yang menghuni kedudukan kedua menerusi catatan 1’15.630s.
Rakan sepasukan Akid, Ahmad Afif Amran, pula muncul ketiga selepas mengekalkan rentak konsisten di kedua-dua sesi.
Persaingan sesi Super Pole esok menjanjikan aksi lebih mendebarkan - Foto Malaysian Cup Prix
Turut mencuri tumpuan ialah Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR serta Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dari HONDA ESTREMO YUZY RACING yang tidak jauh ketinggalan.
Ini adalah isyarat jelas bahawa perebutan sebenar masih belum bermula untuk meraih petak teratas, sesi Super Pole esok yang pasti menjanjikan aksi lebih mendebarkan.