fb fb fb fb fb

Liga Berlian : Hodgkinson pecah rekod 800 meter di Poland

Atlet Britain, Keely Hodgkinson meraikan kejayaan selepas mencatat rekod baharu sekali gus menjuarai acara 800 meter wanita / REUTERS

CHORZOW, 16 Ogos – Juara Olimpik, Keely Hodgkinson, kembali dengan penuh bergaya apabila mencatat masa terpantas dunia musim ini dalam acara 800 meter pada penampilan sulungnya di sejak merangkul emas di Sukan Olimpik Paris tahun lalu.

Atlet Britain berusia 23 tahun itu langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan hamstring yang sebelum ini membelenggunya, apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan rekod kejohanan, 1 minit 54.74 saat dalam keadaan cuaca panas dan lembap di Liga Berlian Silesia.

“Memang seronok sangat,” kata Hodgkinson yang menganggap perlumbaan itu sebagai batu loncatan penting menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo, 13 hingga 21 September depan.

Perlumbaan dimulakan dengan rentak pantas oleh pelari pacemaker Belanda, Lisanne de Witte, yang menyasarkan catatan 1:54.50. Hodgkinson tenang mengawal di belakang, melalui 400m pada 56.09 saat sebelum mula meninggalkan pesaingnya.

Dibayangi pelari Kenya, Liliane Odira, Hodgkinson terus memberi tekanan hingga 300 meter terakhir dan meluru solo ke garisan penamat untuk meraih kemenangan bergaya.

Kemenangan itu menutup episod panjang kekecewaan akibat kecederaan. Sebelum ini Hodgkinson terpaksa menarik diri daripada kejohanan Keely Klassic pada Februari lalu serta saingan Liga Berlian di London bulan lepas.

Selepas aksi di Chorzow, Hodgkinson dijangka turun sekali lagi minggu depan di Liga Berlian Lausanne untuk berentap dengan rakan sepelatihnya, Georgia Hunter Bell, pemenang gangsa Olimpik 1500m.- AFP NEWS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE