fb fb fb fb fb

Sembilan lagi pemain sertai skuad Maloney, menjelang temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam bulan depan

KUALA LUMPUR, 26 April - Seramai sembilan lagi pemain melapor diri di kem latihan pusat pasukan bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, menjelang temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam bulan depan.

Menurut hantaran Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sesi latihan hari ketujuh skuad kendalian Brad Maloney di Wisma FAM, Kelana Jaya itu, sudah disertai seramai 14 pemain, di bawah kendalian Ketua Jurulatih Brad Maloney.

Sembilan pemain mula melapor diri, iaitu Firdaus Irman Fadhil, V. Ruventhiran, A. Shivan Pillay, Aiman Afif Afizul, Ahmad Aysar Hadi Shapri, Daryl Sham, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Mereka menyertai lima pemain lain iaitu Shafi Azswad Sapari, Haqimi Azim Rosli, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Fahmi Daniel Zaaim dan Faiz Amer Runnizar yang sudah melapor diri sejak 19 April lalu.

Kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan itu sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 6 hingga 22 Mei 2022 sebelum terbang ke Uzbekistan bagi mengharungi kempen Piala Asia B-23 2022 bermula 1 hingga 19 Jun 2022.


(Sesi latihan hari ketujuh skuad kendalian Brad Maloney di Wisma FAM, Kelana Jaya/FB FAM)

Baki pemain lain dari senarai 31 pemain yang dipanggil oleh Maloney akan melapor diri secara berperingkat selepas masing-masing selesai komitmen perlawanan bersama kelab masing-masing.

Diundi dalam Kumpulan B pada temasya sukan dwitahunan itu, Malaysia dijadual berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh untuk merebut dua slot ke separuh akhir.

Pada edisi 2019 di Filipina, pasukan negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan, selepas memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Malaysia kali terakhir memenangi ‘ibu segala emas’ temasya itu pada edisi 2011 di Indonesia bawah bimbingan Kim Swee.
 

Media Baharu