fb fb fb fb fb

Liek Hou juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil

KUALA LUMPUR, 25 April - Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou sekali lagi berjaya merangkul gelaran dunia, kali ini menjuarai Kejohanan Para Antarabangsa 2022 di Brazil, awal pagi tadi.

Lebih menarik, ini merupakan kejuaraan dunia kelapan beturut-turut buat Liek Hou.

Liek Hou memenangi acara perseorangan lelaki kategori SU5 (bagi kecacatan anggota bahagian atas) dengan mengalahkan pemain Perancis, Meril Loquette 21-17, 21-17 dalam perlawanan akhir.


(Liek Hou mempertahankan gelaran juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil 2022)

Beraksi dalam arena kompetitif buat kali pertama sejak memenangi pingat emas Paralimpik September lepas, Liek Hou mencatat kemenangan keenam berturut-turut terhadap lawannya yang menghuni ranking ke-7 dunia.

Pemain nombor dua dunia itu mula mempamer prestasi yang konsisten sejak menjuarai Kejohanan Para Badminton 2019 di Denmark.

Dia yang mendapat bimbingan legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, turut berjaya mengekalkan rekod kemenangan dalam 41 perlawanan berturut-turut.

Liek Hou merakamkan penghargaannya kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus memberi sokongan padu kepadanya sambil berharap pencapaian ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Biarpun meraih kemenangan di kejohanan ini saya belum berpuas hati dengan prestasi dipamerkan berikutan hampir tujuh bulan tidak beraksi. Keadaan angin di sini juga agak kuat dan menyukarkan untuk melakukan aksi terbaik.

"Persembahan saya juga tidak berapa konsisten sepanjang mengharungi perlawanan di sini namun saya tekad untuk membaiki kekurangan itu nanti apabila pulang ke Kuala Lumpur,” katanya menerusi pautan video yang dikongsikan.

Media Baharu