BUKIT JALIL, 25 April- Berita gembira buat atlet negara yang akan ke Sukan SEA Hanoi,Mei depan.
Jika berjaya meraih pingat emas, mereka bakal menerima insentif khas sebagai penghargaan mengharumkan nama negara di temasya sukan dwitahunan itu.
Ganjaran tersebut dijanjikan sendiri Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad yang akan memberikannya kepada atlet sebaik sahaja mereka memenangi acara di sana.
Menurut Datuk Nur Azmi Ahmad, insentif ini dilihat mampu menjadi pembakar semangat buat atlet negara menampilkan keupayaan sebenar mereka, sekali gus mencapai misi membawa pulang 31 pingat emas.
"Yang tu nanti siapa dapat 'first medal' dia tahulah berapa insentif dia. Saya nak atlet menolong saya mendapatkan pingat jadi saya pun kena sediakan peruntukan kepada mereka supaya kejayaan diraih itu dikongsi bersama. Dia bekerja, saya beri sesuatu kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan SEA Hanoi di Bukit Jalil.
(Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad)
Sebelum ini pemenang pingat emas di Sukan SEA akan menerima habuan berjumlah RM20,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Seramai 589 atlet terdiri daripada 364 lelaki dan 225 wanita bakal menggalas cabaran Malaysia di temasya yang akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei itu nanti.
Pada edisi 2019 di Manila, Malaysia berjaya membawa pulang 56 pingat emas, 57 pingat perak, dan 71 gangsa.