fb fb fb fb fb

Liga Juara-Juara Asia: JDT tumpas 0-5 kepada Kawasaki Frontale

ISKANDAR PUTERI, 25 April - Kelab Johor Darul Takzim (JDT) gagal meneruskan momentum dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia, apabila tumpas 0-5 kepada Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Ia merupakan kekalahan pertama skuad Harimau Selatan dalam aksi kumpulan I selepas 4 perlawanan.

Pada aksi timbal balik itu dihadapan lebih 16,000 penyokong, pasukan kendalian Toru Oniki bermula garang apabila membolosi gawang JDT seawal minit ke-14 menerusi sepakan percuma yang disempurnakan pemain tengah Yasuto Wakizaka.

Tersentak dengan jaringan itu JDT cuba mencari gol penyamaan namun sekali lagi gawang mereka bocor menerusi Yu Kobayashi pada minit ke-31.

(Liga Juara-Juara Asia)

Kawasaki Frontale terus menambah derita anak buah Benjamin Mora dengan jaringan ketiga, dua minit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi rembatan Kobayashi.

Tuan rumah cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan, namun gagal memanfaatkan peluang terhidang apabila tendangan Shane Lowry melepasi palang pada minit ke-65.

Tidak menunggu lama, Marcio Barbosa meledak gol keempat buat kelab liga utama Jepun itu pada minit ke-81 sebelum Chanathip Songkrasin melengkapkan kemenangan bergaya Kawasaki Frontale, tujuh minit kemudian.

Susulan kemenangan itu Kawasaki Frontale kini naik ke tangga teratas dengan 8 mata.

JDT pula turun ke kedudukan kedua, berkongsi 7 mata dengan Ulsan Hyundai, namun dipisahkan dengan perbezaan gol.

Dalam pada itu meskipun kalah Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora tidak kecewa dan enggan menyalahkan mana-mana pemain.

Beliau mengakui, kebanyakan pemain yang diturunkan malam tadi kurang pengalaman dan minit permainan sama ada dalam saingan ACL atau Liga.

Keputusan merehatkan beberapa pemain pada perlawanan tersebut juga bertujuan mengelakkan mereka mengalami kecederaan dan kelesuan selepas mengharungi empat perlawanan dalam tempoh 12 hari.

Tambahnya, JDT akan kembali dengan prestasi mantap menjelang perlawanan seterusnya, menentang Guangzhou FC.

Media Baharu