fb fb fb fb fb

Selesaikan isu pakaian di ABM secara dalaman

KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Kementerian Belia dan Sukan yakin isu yang timbul antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan pemain profesional negara, Lee Zii Jia berhubung pakaian yang dibenarkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dapat diselesaikan.

Keyakinan itu disuarakan menteri berkenaan, Hannah Yeoh.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas tentang spekulasi bahawa isu berkenaan menjejaskan prestasi Zii Jia yang kian merudum sejak kebelakangan ini.

"Bagi BAM untuk selesaikan kerana ini bukan satu isu baharu dan Lee Zii Jia bukan satu-satunya pemain bebas. Ada banyak pemain bebas. Sebelum ini BAM boleh selesaikan isu ini. Datuk Lee Chong Wei pun dah bersuara. Kita biarkan mereka selesaikan secara dalaman dulu," kata Hannah selepas melancarkan kejohanan bola sepak Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL) 2023 di sini.

(Hannah berucap semasa melancarkan kejohanan bola sepak Liga Super Wanita Kuala
Lumpur (KLWSL) 2023/BERNAMA)

Dalam pada itu, beliau percaya pengarah kejurulatihan Zii Jia, Wong Tat Meng perlu diberi masa menumpukan usaha lebih strategik untuk meningkatkan kembali prestasi pemain itu.

Hannah turut memberi bayangan mengenai perancangan masa depan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang bakal menamatkan perkhidmatannya bulan depan.

"Beliau sangat sibuk dengan Sukan Asia dan juga LTdL. Jadi kita bagi beliau fokus dalam tugasan tersebut. Saya sudah ada perancangan. Apabila tiba masanya saya akan umumkan," tambahnya.

Sukan Asia Huangzhou 2022 dijadualkan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini manakala LTdL 2023 mulai 23 hingga 30 September.

Media Baharu