fb fb fb fb fb

JDT berpesta gol ke suku akhir Piala Malaysia

(Bergson Gustavo Silveira Da Silva (kanan) bersama Takahiro Kunimoto (kiri) meraikan jaringan gol
pertama ketika menentang Kelantan FC pada perlawanan Piala Malaysia/BERNAMA)

ISKANDAR PUTERI, 19 Ogos- Hatrik Bergson Da Silva dan tambahan tujuh lagi gol membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan penuh bergaya.

JDT mencipta sejarah menewaskan Kelantan FC dengan agregat 15-1 selepas mencipta kemenangan luar biasa 10-0 dalam perlawanan kedua saingan 16 pasukan terbaik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Gol pertama JDT hadir minit ke-21 menerusi penyudah Bergson Da Silva hasil hantaran Takahiro Kunimoto.

Skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua apabila Kunimoto dengan tenang mencipta gol pertamanya tiga minit kemudian selepas menyambut baik hantaran Heberty Fernandes.

Kunimoto terus mencuri tumpuan lebih 12,000 penyokong apabila bola lambung hantaran Safiq Rahim berjaya disudahkannya pada minit ke-37.

JDT terus menambah derita Kelantan FC apabila Bergson menanduk masuk sepakan penjuru Juan Muniz pada minit ke-43.

Memasuki babak kedua, Juan Munes menambah gol kelima JDT selepas berjaya menyambut hantaran lintang Arif Aiman pada minit ke-54.

Pemain tengah JDT, Daryl Sham kemudiannya menjaringkan gol keenam pada minit ke-59 sebelum Heberty Hernandes menambahkan kesengsaraan Kelantan FC untuk gol ketujuh JDT dua minit kemudian.

Gol kelapan JDT terhasil pada minit ke-64 menerusi Arif Aiman yang bergaya menyempurnakan hantaran Bergson.

Derita Kelantan terus berpanjangan dengan Bergson mencipta hatrik pada minit ke-73 sekali gus JDT kebal di hadapan 9-0.

Kelantan FC terus dimalukan apabila Ahmad Aysar Hadi menjaringkan gol ke sepuluh pada penghujung perlawanan.

(Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) diasak Leonardo Gabriel Rolon (kanan) pada perlawanan Piala
Malaysia/BERNAMA)

Media Baharu