fb fb fb fb fb

Tengku Zafrul kini sah presiden baharu BAM

Foto BAM

KUALA LUMPUR, 10 Mei - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kini secara rasmi bergelar Presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tengku Zafrul dipilih secara sebulat suara menduduki kerusi nombor satu BAM selepas tidak dicabar mana-mana pesaing pada sesi pemilihan yang dijalankan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk badminton negara kali ke-80.

Tengku Zafrul yang bersyukur diberi mandat dan kepercayaan oleh ahli majlis BAM menyifatkan ia sebagai amanah dan penghormatan besar, yang akan digalasnya dengan penuh dedikasi bagi memperkasa persatuan itu menjadi entiti yang disegani baik di dalam mahupun luar negara.

“Bagi saya ini adalah satu penghormatan yang besar dan amanah ini akan saya galas dengan penuh tanggungjawab, dedikasi serta keazaman untuk melihat sukan badminton negara terus cemerlang di persada dunia.

“Saya akan gunakan pengalaman saya di sektor swasta dan kerajaan untuk memastikan pengurusan BAM terus diperkasa dan persatuan ini menjadi institusi sukan contoh bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media- BERNAMA

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI