(Rizal Gazali (tiga, kanan) bersama rakan sepasukan meraihkan jaringan ketika
menentang Kuching City pada saingan Piala Malaysia di Stadium Likas/BERNAMA)
KOTA KINABALU, 19 Ogos- Sabah FC menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas mengatasi Kuching City FC dengan agregat 4-1 di Stadium Likas malam tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1, namun Kuching City ketinggalan dengan agregat agak besar selepas tewas 0-3 dalam aksi pertama di Stadium Negeri, Kuching pada 5 Ogos lalu.
Gol pertama perlawanan dijaringkan pada minit ke-27 apabila sepakan bebas yang diambil Saddil Ramdani berjaya ditolak masuk oleh pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali menjadikan kedudukan 1-0 sehingga habis separuh masa pertama.
Gol penyamaan buat Kuching City FC dioeroleh pada awal separuh masa kedua melalui tandukan Rames Lai pada minit ke-57.
Walaupun berakhir dengan keputusan seri, Sabah tetap memiliki kelebihan agregat 4-1 untuk mara ke suku akhir.
"Kalau kita lihat daripada keputusan sudah tentu kita inginkan kemenangan namun dengan keputusan seri kita layak ke peringkat seterusnya itu lebih penting bagi saya namun kita dibolosi. Itu amat mengecewakan. Kita hilang fokus apabila kita cuba menyerang untuk mendapatkan gol dan di situ kita leka dan mereka dapat menyamakan kedudukan," kata pengurus merangkap ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
"Saya rasa separuh masa pertama kami mengawal permainan dan bermain dengan baik. Rancangan kami ialah untuk tidak membenarkan gawang kami dibolosi. Tetapi mereka melepaskan satu gol hasil sepakan bebas. Pada separuh masa kedua kami meletakkan lebih banyak pemain menyerang dan mereka bermain dengan sangat baik," kata ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak.
Sabah FC akan akan bertemu Perak FC dalam saingan suku akhir.
(Terjahan pemain Sabah FC Gabriel Schmegel ke atas Pemain Kuching City FC Jimmy Raymod
pada saingan Piala Malaysia di Stadium Negeri/BERNAMA)