KOTA KINABALU, 23 Disember – Sabah FC melangkah ke peringkat separuh akhir selepas mencatat keputusan seri 0-0 menentang Kuching City FC di Stadium Likas, sekali gus mara dengan agregat 1-0 hasil kemenangan tipis pada perlawanan pertama di Kuching.
Pada separuh masa pertama, Kuching City tampil agresif untuk cuba menafikan kelebihan Sabah FC.
Namun, kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan meskipun terdapat beberapa percubaan bahaya.
Babak kedua menyaksikan benteng pertahanan Sabah FC diuji dengan serangan bertali arus daripada Kuching City.
Bagaimanapun, peluang terbaik pasukan pelawat gagal diterjemahkan menjadi jaringan.
Sabah FC kini bersiap sedia untuk pertemuan di separuh akhir menentang Sri Pahang FC, yang mara selepas menyingkirkan Perak FC dalam perlawanan suku akhir mereka.