PARIS, 11 Ogos- Pertaruhan Sifan Hassan di temasya Paris 2024 akhirnya membuahkan hasil apabila dia merangkul emas dalam acara maraton pada Ahad selepas sekadar memenangi dua pingat gangsa dalam acara 5,000m dan 10,000m,.
Hassan, atlet kelahiran Ethiopia yang kini mewakili Belanda nyata tidak mengecewakan apabila berjaya menewaskan Tigst Assefa dari Ethiopia untuk kemenangan dengan catatan rekod olimpik 2 jam 22 minit 55 saat.
Kejayaan tersebut mengimbau kembali usaha atlet berkenaan di Tokyo yang terjejas oleh Covid tiga tahun lalu apabila dia juga memenangi tiga pingat: dua emas (5,000m, 10,000m) dan satu gangsa (1500m).
Assefa memenangi perak dengan catatan 2:22.58, manakala Hellen Obiri dari Kenya meraih gangsa.
"Ia tidak mudah," kata Hassan. "Cuaca sangat panas, tetapi saya rasa OK.
"Saya tidak pernah memaksa diri hingga ke garisan penamat seperti hari ini."
Hassan, yang memenangi Maraton London 2023 pada penampilan sulungnya dalam acara tersebut dan kemudian mencatatkan masa kedua terbaik dalam sejarah ketika memenangi Maraton Chicago pada Oktober dengan 2:13.44, mengatakan emas Olimpik adalah kemuncak kegemilangannya.
"Saya sangat gembira semasa Maraton London, tetapi hari ini saya lebih gembira, saya tak percaya saya juara maraton Olimpik!" katanya.
Laluan maraton sepanjang 42km itu bermula dari pusat bandar Paris dan membuat satu pusingan ke Versailles, meniru saat penting dari Revolusi Perancis: Perarakan Wanita ke Versailles pada 5 Oktober 1789 yang menyebabkan Raja Perancis Louis XVI akhirnya bersetuju untuk mengesahkan Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Warga Negara.
Laluan itu termasuk pendakian setinggi 436m dan penurunan 438m. Kecerunan maksimum di laluan itu ialah 13.5 peratus.-AFP