fb fb fb fb fb

Piala Agong: PDRM cipta hatrik

Ketua jurulatih PDRM, Dinesvaran Krishnan/RTM

KUALA LUMPUR, 26 Oktober — Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan dominasi mereka dalam arena ragbi tempatan selepas menewaskan Johor 18-17 dalam aksi akhir penuh dramatik Piala Agong 2025 di UM Arena, hari ini.

Kejayaan tipis itu memastikan PDRM mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai kuasa besar ragbi Malaysia yang sukar ditandingi.

Pertarungan sengit sejak awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun peluang awal menerusi sepakan penalti disia-siakan oleh Aqasha Daniel Irwan (Johor) dan Muhamad Amirul Aqil Kamsol (PDRM).

PDRM terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi penalti Amirul Aqil, sebelum Johor bangkit melalui gerakan pantas “quick penalty” yang disempurnakan pemain naturalisasi, Sae Faalupega.

Conversion Aqasha Daniel kemudiannya meletakkan Johor di depan.

Namun menjelang rehat separuh masa, Owen Niue muncul wira apabila melakukan try hasil serangan balas pantas untuk mengembalikan kelebihan kepada PDRM 8-7.

Memasuki babak kedua, tempo permainan semakin rancak.

Johor yang kehilangan seorang pemain selepas Supriyanto Supyai dilayangkan kad kuning tetap menunjukkan ketahanan luar biasa apabila Serpepeli Turuva menambah try kedua, disusuli conversion Aqasha Daniel untuk mendahului 14-11.

Penalti tambahan Aqasha Daniel pada minit ke-74 seolah-olah mengesahkan kejuaraan buat Johor, namun kebangkitan luar biasa PDRM di penghujung perlawanan mengubah segalanya.

Dengan baki masa yang semakin suntuk, PDRM melancarkan serangan terakhir yang membuahkan try dramatik pada minit ke-80, sebelum Amirul Aqil memastikan kemenangan melalui sepakan conversion.

Sorakan gemuruh bergema di UM Arena ketika wisel penamat ditiup, mengesahkan PDRM sebagai juara Piala Agong 2025 dengan kemenangan 18-17 — sekali gus melengkapkan kejuaraan hatrik menakjubkan di bawah bimbingan Dinesvaran Krishnan.

Sementara itu, Ketua jurulatih PDRM, Dinesvaran Krishnan, menyifatkan kemenangan tipis itu sebagai hasil semangat juang tinggi dan kekentalan mental pemain yang enggan mengalah biarpun ketinggalan di penghujung perlawanan.

“Johor beri tentangan hebat, tapi pemain kami kekal fokus. Kami sudah biasa melalui situasi sukar dan itu membina ketahanan mental mereka,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD