KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan ASEAN memeterai semula Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bola sepak serantau.
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan turut menyaksikan pengumuman kejohanan baharu, FIFA ASEAN Cup, yang akan disertai kesemua 11 negara ASEAN.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah bersejarah dalam memperkasa pembangunan bola sepak di rantau yang mempunyai lebih 700 juta peminat sukan tersebut.
“Apa yang kita lancarkan hari ini ialah satu kejohanan baharu di bawah naungan FIFA iaitu FIFA ASEAN Cup yang diwujudkan bersama semua 11 negara rantau ini.
"Kejohanan ini akan memberi lonjakan besar kepada bola sepak ASEAN dan membawa sinar kepada seluruh dunia,” katanya.
Tambahnya, MoU tersebut berteraskan tiga prinsip utama iaitu integriti dalam permainan, persekitaran yang selamat dan terjamin bagi penganjuran perlawanan, serta pendidikan melalui pembangunan bola sepak untuk lelaki dan wanita.
“Bola sepak menyatukan dunia, dan melalui kerjasama ini, kita menyatukan kesemua 11 negara ASEAN untuk menjayakan FIFA ASEAN Cup, yang saya yakin akan menjadi kejohanan besar dan berpengaruh di rantau ini,” ujarnya.
Infantino turut menegaskan simbolik angka 11 yang mewakili negara-negara ASEAN mencerminkan kekuatan dan semangat kesepasukan sama seperti pasukan bola sepak yang terdiri daripada 11 pemain di atas padang.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.