fb fb fb fb fb

Alex Marquez dinobatkan juara GP Malaysia 2025

Pelumba pasukan Gresini, Alex Marquez/BERNAMA

SEPANG, 26 Oktober  - Pelumba Sepanyol, Alex Marquez, mempamerkan aksi cemerlang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk merangkul kemenangan ketiganya musim ini pada Grand Prix Petronas Malaysia 2025, hari ini.

Pelumba pasukan Gresini itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 40 minit 09.249 saat, dua saat di hadapan rakan senegaranya, Pedro Acosta.

Manakala Joan Mir melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Bermula dari petak kedua, Marquez segera melakukan gerakan bijak apabila memintas Francesco Bagnaia pada pusingan kedua ketika melalui selekoh panjang, sebelum mengekalkan kedudukan pendahulu hingga ke garisan penamat.

Sementara itu, Bagnaia yang bermula di petak pertama cuba terus memberikan tekanan namun terpaksa menumpukan usaha mempertahankan kedudukannya daripada asakan Acosta, yang berjaya memintasnya pada pusingan ke-13.

Nasib Bagnaia bertambah malang apabila beliau terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas mengalami masalah teknikal berbaki dua pusingan.

Kemenangan di Sepang turut melengkapkan musim gemilang buat Marquez, yang sehari sebelumnya telah mengesahkan kedudukan naib juara Kejohanan Dunia, sekali gus mencatat kemenangan pertamanya di luar tanah air selepas muncul juara di Grand Prix Sepanyol dan Catalonia musim ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD