BANGI, 26 Oktober - Datuk Megat Zulkarnain Omardin berjaya mengekalkan jawatan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) untuk penggal empat tahun akan datang selepas menang tanpa bertanding.
Beliau berkata, sepanjang kepimpinannya, dunia silat negara telah mencapai pelbagai kejayaan termasuk penyertaan generasi muda udalam pertandingan yang diadakan hampir setiap minggu di seluruh negara.
“Saya berterima kasih kepada ahli gabungan yang mencalonkan saya. Dalam beberapa mesyuarat Exco sebelum ini, saya ada menyatakan sudah tiba masanya mencari tokoh baharu.
"Namun buat masa ini, saya kekal dengan keputusan sedia ada dan menyerahkan kepada mesyuarat untuk menentukan hala tuju seterusnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pemilihan PESAKA 2025.
Sementara itu, bagi Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (Pusaka), dua calon menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden dengan kemenangan berpihak kepada Datuk Seri Haji Mohamad Ali yang menewaskan Haji Mohd Faiz Musa.
Lima calon pula dipilih bagi jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Dr Haji Muhammad Fairus Haji Husain, Datuk Lassim Borhan Kasturi, Datuk Majid, Datuk Wira Johan Azizi dan Safaran Haji Ahmad. Jawatan Setiausaha Agung disandang oleh Bibi Aishah Golbah Shah.





 
                                    
            