fb fb fb fb fb

Selangor pertahan kejuaraan Piala Agong selepas tewaskan Kuala Lumpur

Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Agong buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Agong buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi penuh dramatik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Sabtu.

Ketua Jurulatih Selangor, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah berkata kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras dan semangat juang tinggi pemain yang tidak berputus asa hingga ke wisel penamat.

0510 PIALA AGONG SEL VS KL 2Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah/Foto RTM

“Babak pertama kami bermula perlahan sehingga ketinggalan 0-1 menerusi sepakan penjuru. Namun pemain mendengar arahan, bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua dan terus berjuang biarpun bermain dengan 10 orang sehingga tamat masa tambahan. Akhirnya, penalti jadi penentu segalanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut.

Dalam aksi 120 minit itu, Kuala Lumpur terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Ibrahim Nyass Ilmu pada minit ke-25.

Selangor yang kembali mengatur rentak serangan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-85, yang disempurnakan tenang oleh Irfan Raziq Rasol bagi mengikat kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, Irfan dilayangkan kad merah pada minit ke-99, memaksa Selangor beraksi dengan 10 pemain hingga tamat masa tambahan.

Aksi terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, dan Selangor akhirnya muncul juara selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-3, sekali gus mengekalkan kejuaraan Piala Agong buat kali kedua berturut-turut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN