fb fb fb fb fb

Kuching City FC akhiri badai Derbi Borneo, tumpaskan Sabah FC 1–0

Pemain Kuching City FC meraikan jaringan gol ketika menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi/Foto Bernama

KOTA KINABALU, 5 Oktober – Sabah FC terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0–1 di tangan musuh serantau, Kuching City FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, malam Sabtu.

Kemenangan itu merupakan kejayaan pertama Kuching City FC dalam pertembungan Derbi Borneo selepas menamatkan badi 10 perlawanan tanpa kemenangan ke atas Sabah FC.

Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak meluahkan rasa puas hati terhadap persembahan anak buahnya meskipun diakui Sabah memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Walaupun kami menguasai permainan dengan baik, dari segi serangan kami tidak begitu tajam. Namun pada separuh masa kedua, kami berbincang di bilik persalinan dan membuat dua pertukaran, Pedro dan Gabriel bagi memperkukuh bahagian serangan.

“Kami berjaya melaksanakan perancangan permainan dengan baik dan saya gembira bukan sahaja kerana Jordan menjaringkan gol, tetapi juga kerana kami mengekalkan satu lagi rekod tanpa bolos di tempat lawan, sesuatu yang bukan mudah dicapai,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Jean Paul De Marigny, tetap berbangga dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan anak buahnya meskipun tewas di laman sendiri.

“Mereka memberikan tindak balas yang sangat baik. Saya amat berbangga dengan mereka dari segi etika kerja, mentaliti dan keinginan untuk menjadi lebih baik.

“Dalam 10 hingga 15 minit terakhir, kami benar-benar menunjukkan ketenangan dan kepercayaan antara satu sama lain. Kami juga mencipta beberapa peluang yang baik dan saya melihat banyak perkara positif daripada perlawanan ini,” katanya.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan Kuching City FC lebih banyak mengawal permainan, namun kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol.

Memasuki babak kedua, perlawanan bertambah rancak dengan asakan bertali arus dari kedua-dua pasukan sebelum Jordan Mintah memecah kebuntuan pada minit ke-74 hasil hantaran kemas Scott Woods.

Kekalahan itu menyaksikan Sabah FC kekal di tangga ke-12 liga dengan hanya tiga mata daripada enam perlawanan, manakala Kuching City FC melonjak ke tangga keempat dengan kutipan keseluruhan 13 mata.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN