fb fb fb fb fb

Ragbi Piala Agong: PDRM kekal rekod kemenangan

FOTO RTM

SHAH ALAM, 5 Oktober - Juara dua edisi berturut-turut, pasukan Ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan rentak cemerlang mereka dalam misi mempertahankan kejuaraan apabila menundukkan Kelantan 26-25 dalam aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Ragbi Piala Agong 2025 yang berlangsung di EV Arena, Elmina City Centre, malam tadi.

Pada separuh masa pertama, PDRM ketinggalan 13-22 namun bangkit bergaya pada babak kedua untuk memastikan kemenangan tipis itu menjadi milik mereka.

Kejayaan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan PDRM di persada Kumpulan A dan mengekalkan rekod kemenangan bersih sepanjang saingan peringkat kumpulan.

Sementara itu, kekalahan kepada PDRM menyaksikan Kelantan menamatkan kempen peringkat kumpulan dengan dua kekalahan, selepas turut tewas kepada Perlis sebelum ini.

Kejohanan Ragbi Piala Agong 2025 bermula pada 6 September lalu, dengan aksi suku akhir dijadual berlangsung pada 11 Oktober ini di empat venue berbeza.

Aksi separuh akhir pula dijadual 18 Oktober, diikuti perlawanan kemuncak yang turut menampilkan perebutan tempat ketiga dan keempat pada 26 Oktober ini di Stadium Arena, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE