fb fb fb fb fb

Selangor kecewakan Tampines Rovers

Aksi pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim ketika menentang BG Tampines Robers / BERNAMA

PETALING JAYA, 25 September - Selangor meraih kemenangan pertama dalam kempen Kejohanan Kelab ASEAN 2025/2026 selepas mengalahkan Tampines Rovers 4-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

The Red Giants memulakan perlawanan kedua Kumpulan A dengan cemerlang apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-18, sebelum Zach Clough melebarkan jurang pada minit ke-29.

Bagaimanapun pasukan pelawat berjaya merapatkan kedudukan apabila Kohya Kazama menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-41 selepas dikasari oleh Richmond Ankrah.

Pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi tidak mengalah dan bangkit selepas rehat dengan dua gol pantas menerusi Mohamad Faisal pada minit ke-52 dan Alvin Fortes, minit ke-58 untuk selesa 4-1.

Selangor tidak dapat disekat dan mengukir kemenangan pertama dalam dua perlawanan meskipun digasak Hide Higashikawa pada minit ke-65 dengan jaringan kedua.

“Ini satu petanda yang baik dan saya sangat bangga dengan pemain saya. Ada yang keletihan dan bergelut untuk pulih, tetapi mereka tetap memberikan yang terbaik.

"Kami juga perlu menjaga diri daripada kecederaan dan memastikan pasukan berada dalam keadaan baik.

"Lawan pula sebuah pasukan yang kuat, dan ini adalah perlawanan antarabangsa, jadi kami tidak boleh mudah mengalah," kata Katsuhito Kinoshi sambil mengakui kutipan tiga mata untuk pasukan amat bermakna.

Selepas dua perlawanan, Selangor kini berada di tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata, berkongsi mata dengan BG Pathum United dari Thailand di tempat kedua.

Tampines Rovers berada di tempat ketiga dengan tiga mata.

The Red Giants akan bertemu Dynamic Herb Cebu dari Filipina di Manila pada 3 Disember depan.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID