fb fb fb fb fb

Kejayaan di Romania, hasil kerjasama erat pasukan

Foto RTM

SEPANG, 25 September – Skuad kuda lasak remaja negara membuktikan ketahanan mental dan fizikal apabila pulang dengan pencapaian cemerlang di Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) di Romania.

Malaysia menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan, sekali gus muncul pasukan nombor satu Asia serta satu-satunya pasukan dengan empat penunggang berjaya melengkapkan perlumbaan.

Ketua pasukan, Wan Nur Irdina Aisya Wan Mohd Kamaluddin, menegaskan kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat pasukan dalam menguruskan cabaran perlumbaan jarak jauh di Romania.

Beliau juga optimis pasukannya mampu mencipta rekod yang jauh lebih baik dengan menggunakan strategi yang ada bagi menghadapi Sukan Remaja Asia 2025 di Bahrain pada Oktober depan.

"Saya rasa sebab kami sudah habis acara ini, jadi untuk Bahrain nanti saya rasa lebih mudah untuk kami sebab trek di Bahrain lebih rata dan lebih kurang macam Romania, Romania berbukit sedikit jadi saya rasa strategi boleh digunakan di Bahrain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengalaman di Romania kini menjadi bekalan penting menjelang cabaran lebih besar di Sukan Remaja Asia Bahrain, Oktober depan.

Sementara itu pengurus pasukan, Wan Mohd Kamaluddin, yakin pengalaman menguruskan kuda sewaan di Romania memberi kelebihan kepada pasukan untuk tampil lebih matang di Bahrain, biarpun bakal berdepan lawan lebih berpengalaman dan kuda lebih terlatih.

"Sebenarnya di Bahrain nanti agak lebih mencabar bagi saya.

"Ini disebabkan kuda-kuda pasukan yang kuat adalah daripada Bahrain dan UAE. Mereka menggunakan kuda sendiri yang telah ada di sana dan kita akan menggunakan kuda-kuda yang sewa. Itulah cabarannya," katanya.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID