KUALA LUMPUR, 25 September - Harimau Malaya akan beraksi di Jakarta, Indonesia selepas muncul naib juara kumpulan G kempen kelayakan Piala Asia Futsal 2026.
Meskipun Malaysia tewas 0-4 kepada Iran di Stadium Tertutup SUKPA, namun kutipan enam mata cukup memadai buat skuad kendalian Rakphol Sainetngam.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia, Iran yang juga juara 13 kali Piala Asia membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Mehdi Mehdikhani.
Hossein Derakhshani kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-12.
Ketua pasukan Hossein Tayyebi menambah gol ketiga pasukan nombor satu Asia itu pada minit ke-33 dan Ali Khalilvand melengkapkan kemenangan Iran dengan jaringan keempat pada minit ke-36.
Kemenangan itu membolehkan Iran muncul juara Kumpulan G, manakala Malaysia di tangga kedua.
Dalam aksi pembukaan sebelum ini, Malaysia menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 1-0 sebelum membelasah Bangladesh 7-1 pada perlawanan kedua.
Kemaraan itu turut menyaksikan Malaysia berada dalam senarai tujuh pasukan naib juara kumpulan terbaik yang layak bersama-sama lapan juara kumpulan dalam saingan kelayakan, serta tuan rumah, Indonesia.
Majlis undian Piala Asia Futsal 2026 dijadual berlangsung pada 5 November depan, bagi menentukan kedudukan 16 pasukan untuk dibahagikan empat pasukan ke dalam setiap Kumpulan A, B, C dan D.