fb fb fb fb fb

Selangor, juara Piala Emas Raja-Raja edisi ke-100

PETALING JAYA, 13 November- Selangor berjaya menamatkan penantian 25 tahun selepas menjulang trofi Piala Emas Raja-Raja dengan menewaskan PDRM, 3-2.

Kejayaan itu berjaya mengulangi pencapaian edisi 1997 dan lebih manis, edisi kali ini adalah edisi ke-100 tahun penganjuran.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Muhammad Adim Muzahhir pada minit ketiga.

PDRM tampil garang memburu mata penyamaan yang berjaya ditemui Mohamad Fakrullah pada minit ke-23.

Skuad Sang Saka Biru berjaya meletakkan pasukan dihadapan dengan jaringan 2-1 pada babak kedua hasil jaringan, Muhammad Eskandar Ismail.

Tidak bertahan lama, Selangor menggandakan asakan ke kubu lawan sekali gus berjaya meraih gol penyamaan menerusi sepakan percuma yang disempurnakan pemain gantian, Amirul Haziq pada minit ke-73.

Bagaimanapun, Nazrin Mohammad Nasir muncul wira buat Selangor apabila berjaya menoktahkan kemenangan buat pasukan pada masa kecederaan, hasil gol tanduknya.

Keputusan tersebut menyaksikan Selangor menjulang trofi Piala Emas Raja-Raja untuk edisi ke-100 penganjurannya manakala PDRM terus merekodkan ketandusan piala.

Pengendali PDRM, Rohaizah Md Ribi berkata pasukannya tidak bernasib baik pada perlawanan berkenaan walaupun berjaya mencipta beberapa peluang terbaik.

"Menurut saya, permainan kami seimbang dengan pihak lawan cuma rezeki tidak berpihak kepada kami apabila mereka menyudahkan peluang emas pada masa tambahan itu," kata Rohaizah kepada RTM.

Pasukan Selangor membawa pulang RM50,000, trofi, pingat dan syiling emas manakala PDRM membawa pulang RM30,000 beserta pingat.


(Pemain Selangor meraikan kemenangan pasukan sempena penganjuran Piala Emas Raja-Raja yang ke-100)

Media Baharu