fb fb fb fb fb

TFC layak ke separuh akhir TM Piala Malaysia 2022, Selangor FC menanti

Foto FB MFL

KUALA NERUS, 13 November - Terengganu FC (TFC) membuktikan bahawa pasukan mereka lebih layak untuk ke pusingan separuh akhir TM Piala Malaysia 2022 selepas mempamer aksi hebat membenam juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) City FC, 3-1 malam tadi.

Keputusan tersebut mencatatkan TFC mendahului skor agregat 4-1 pada aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Momentum kemenangan ini disaksikan lebih 25,000 penyokong setia TFC sekali gus membenarkan mereka memasang impian untuk memburu slot ke pentas akhir buat kali kedua pada musim ini.

Tirai jaringan dibuka seawal minit ke-22 oleh perancang TFC, Manuel Ott namun TFC akur diikat semula KL City FC sebelum tamat babak masa pertama menerusi Haqimi Rosli.

TFC mempamer aksi kebangkitan sejurus masuk babak kedua apabila pemain import mereka berjaya mencetak dua gol menerusi Kipre Tchetche pada minit ke-63 disusuli gol kemenangan TFC pada minit ke-89 oleh Kpah Sherman.

TFC selepas ini akan berdepan juara 33 kali Piala Malaysia iaitu Selangor FC bagi aksi separuh akhir TM Piala Malaysia 2022.


(Foto FB MFL)

Sementara itu, pengurus TFC, Nafuzi Zain berkata skuad Sang Penyu berjaya mengawal permainan meski tertekan akibat ketinggalan jaringan pada babak pertama.

"Gol penyamaan pada separuh masa pertama itu memberi sedikit kelegaan dan juga tekanan kepada para pemain. Namun, saya harus memberi kredit kepada pemain kerana mereka berjaya menyerap tekanan sekali gus menterjemahnya pada babak kedua permainan.

Sokongan daripada peminat setia TFC antara faktor kekuatan kami untuk aksi bertemu KL City FC ini. Ini adalah satu pencapaian terbaik pasukan apabila layak ke pusingan separuh akhir dua tahun berturut-turut," kata Nafuzi kepada RTM selepas perlawanan malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Nafuzi Zain meluahkan rasa terkilan terhadap pengurusan TFC apabila tidak bersikap profesional ketika pemakluman lanjutan kontraknya.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui berkenaan perkara itu apabila surat lanjutan kontrak diserahkan oleh KITMAN dan bukan melalui meja perbincangan seperti yang diamalkan sesebuah pasukan bola sepak profesional.

Walau bagaimanapun, beliau tetap fokus dengan sasaran untuk melangkah ke pusingan akhir TM Piala Malaysia 2022 dan menjelaskan, isu berkenaan tidak menjejaskan perancangannya untuk skuad Sang Penyu.

Media Baharu