fb fb fb fb fb

De Gea dan Thiago Alcantara tidak tersenarai ke Piala Dunia

FOTO AFP

LAS ROZAS, 13 November - Juara Piala Dunia 2010, Sepanyol melakukan kejutan apabila tidak menyenaraikan penjaga gol Manchester United, David de Gea dan perancang Liverpool, Thiago Alcantara dalam skuad ke Piala Dunia 2022 di Qatar, bulan ini.

Menurut ketua jurulatihnya, Luis Enrique, khidmat beberapa pemain muda ditagih termasuk penyerang Barcelona, Ansu Fati yang berusia 20 tahun.

Luis Enrique bagaimanapun enggan memberi alasan mengapa De Gea dan Thiago diketepikan dalam skuad 26 pemain pasukan Sepanyol itu.

Namun, keputusannya itu dilihat lebih kepada memberi peluang buat pemain generasi baharu Sepanyol.

De Gea sebelum ini kehilangan posisinya itu kepada pemain Athletic Bilbao, Unai Simon manakala peranan Thiago sebagai perancang tengah La Roja pula mula dirampas oleh dua pemain muda Barcelona, Pedri, 19 tahun dan Gavi, 18 tahun.

Sementara itu, kehadiran Fati, 20 tahun, ke dalam skuad Sepanyol kali ini amat mengejutkan selepas penyerang Barca itu baharu sahaja pulih daripada pembedahan lutut sejak November 2020.

Fati membuat penampilan sulung Piala Dunia pada edisi 2020 ketika berusia 17 tahun dan mencatat sejarah sebagai pemain termuda menjaringkan gol buat skuad kebangsaannya.

Sepanyol akan memulakan kempen memburu gelaran dunia kedua mereka di Qatar dengan berdepan Costa Rica, Jerman dan Jepun dalam Kumpulan E.


(FOTO AFP)

Media Baharu